Latar belakang Peter_Rabbit

Dalam cerita-cerita Potter ini, semua arnab berjiwa manusia dan memakai pakaian manusia; Peter memakai jaket dan kasut. Peter, ibunya Mrs. Josephine Rabbit, dan adik-beradiknya Flopsy, Mopsy, dan Cotton-tail, tinggal dalam sebuah sarang arnab yang dilengkapi dapur manusia, perabot manusia, dan sebuah kedai aneka barang milik Mrs Rabbit sendiri. Peter ada seorang bapa saudara (Mr. Benjamin Bunny) dan seorang sepupu (Benjamin Bunny, anak Mr. Benjamin).

Peter Rabbit dinamakan sempena seekor arnab yang pernah dibela oleh Beatrix Potter sewaktu kecil, bernama Peter Piper. Cerita sulung Peter Rabbit, iaitu The Tale of Peter Rabbit, mula-mula direka pada 1893 sebagai isi kandungan surat kepada Noel Moore, anak lelaki yang berusia lima tahun kepada bekas pengasuh Potter, Annie Moore. Ketika itu, Noel kurang sihat, jadi Potter menuliskan cerita bergambar sketsa kepada kanak-kanak itu supaya dia kekal ceria.

Pada Jun 1902, cerita ini diterbitkan sebagai bahan dagangan oleh Frederick Warne & Co, dan menjelang akhir tahun, 28,000 salinan telah dicetak. Sepanjang zaman, The Tale of Peter Rabbit sudah terjual lebih 40 juta salinan sedunia, dan tepat pada tahun 2008, siri Peter Rabbit sudah terjual lebih 151 juta salinan dalam 35 bahasa.[1][2]

Berkaitan